[Berita Harian] Hospital swasta mula beri suntikan vaksin hari ini

Vaksin Pfizer. - Foto hiasan AFP

Vaksin Pfizer. - Foto hiasan AFP

 

KUALA LUMPUR: Beberapa hospital swasta dalam negara ini sudah mula memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada orang awam selepas kerajaan bersetuju hospital swasta digunakan sebagai pusat vaksinasi dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Di PULAU PINANG, tiga hospital swasta memulakan operasi pemvaksinan mereka hari ini, iaitu Hospital Pantai Pulau Pinang, Hospital Lam Wah Ee (HLWE) dan KPJ Pulau Pinang dengan sasaran untuk memberikan suntikan vaksin kepada 500 penduduk negeri itu sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Dr Anas Alam Faizli, berkata lebih banyak lagi hospital dan doktor swasta yang berdaftar di bawah program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan beroperasi selepas ini.

"Kami percaya jika semua doktor dan hospital swasta di Pulau Pinang menyertai program vaksinasi PPV, kami boleh meningkatkan dan mencapai dos sasaran sehari yang ditetapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya kepada BERNAMA ketika meninjau PPV di Hospital Pantai, hari ini.

Beliau berkata 12 hospital dan lebih 100 doktor swasta sudah berdaftar dengan ProtectHealth, pelaksana penyertaan pengamal perubatan swasta dalam program imunisasi kebangsaan.

Antara warga emas yang disuntik vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) di hospital pakar KPJ Pulau Pinang, Bandar Perda. PPVHS KPJ Pulau Pinang adalah antara enam hospital swasta yang terbabit di Pulau Pinang dalam usaha mempercepatkan PICK. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Antara warga emas yang disuntik vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) di hospital pakar KPJ Pulau Pinang, Bandar Perda. PPVHS KPJ Pulau Pinang adalah antara enam hospital swasta yang terbabit di Pulau Pinang dalam usaha mempercepatkan PICK. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Di NEGERI SEMBILAN, Hospital Pakar CMH dipilih sebagai sebuah PPV di Seremban untuk memudah cara dan memastikan lebih banyak rakyat Malaysia menerima vaksin dengan matlamat mencapai kelompok imuniti terhadap COVID-19.

Presidennya, Datuk Lee Tian Hock, dalam satu kenyataan hari ini berkata hospital itu akan memberikan suntikan 100 dos vaksin kepada mereka yang dalam senarai diberikan kerajaan pada masa ditetapkan di bawah bimbingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ProtectHealth.

Hospital Pakar CMH sebagai sebuah PPV yang diluluskan akan memastikan pemberian vaksin itu dilaksanakan berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan KKM menerusi aplikasi MySejahtera atau vaksincovid.gov.my.

"Penerima vaksin juga perlu mematuhi garis panduan dalam mendapatkan suntikan vaksin secara teratur dengan membawa bersama kad pengenalan, telefon pintar dan juga pen untuk mengisi borang," katanya.

Sementara itu di PERAK, Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di Bandaraya Ipoh mula beroperasi sebagai satu daripada PPV bagi membantu mempercepatkan urusan vaksinasi di Perak.

Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani, berkata proses pemberian vaksin pada hari pertama membabitkan 50 enerima fasa kedua terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik bermula jam 9 pagi tadi.

"Mereka menerima vaksin jenis Sinovac dan penerima yang diberikan suntikan vaksin di hospital ini memperoleh janji temu mengikut giliran menerusi aplikasi MySejahtera.

"Kami juga telah berikan suntikan vaksin kepada 67 pesakit yang menerima rawatan hemodialisis menerusi program khidmat masyarakat bersama KKM bermula 3 Mei lalu dan tiada kesan sampingan yang teruk dikesan pada mereka," katanya pada sidang media hari ini.

Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Ar Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani bertanya khabar antara 50 penerima yang datang untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari

Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Ar Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani bertanya khabar antara 50 penerima yang datang untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari

 

Beliau berkata pihaknya turut bersedia untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan program khidmat masyarakat di kawasan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli dalam usaha mencapai imunisasi kelompok.

Katanya hospital itu mampu melakukan pemvaksinan ke atas 200 orang sehari dan meminta semua pihak supaya sentiasa menyemak janji temu pada aplikasi MySejahtera supaya tidak terlepas peluang mendapatkan vaksin.

Sementara itu Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd (KPJ), Ahmad Shahizam Mohd Shariff dalam satu kenyataannya hari ini berkata mulai Isnin, KPJ akan melaksanakan suntikan 6,000 dos vaksin COVID-19 sehari sehingga hujung bulan ini.

Beliau berkata penyuntikan sejumlah 2,600 dos vaksin sehari akan dilakukan di pusat pemvaksinan mega, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sementara penyuntikan 3,400 dos lagi akan dilaksanakan di 20 hospital KPJ di seluruh negara.

"KPJ akan menyumbang kepada empat peratus daripada sasaran penyuntikan 150,000 dos vaksin di seluruh negara setiap hari, angka pemvaksinan terbesar dalam sehari oleh kumpulan penjagaan kesihatan swasta di Malaysia," katanya.

Ahmad Shahizam berkata, KPJ komited sepenuhnya untuk menyokong program pemvaksinan kerajaan dengan memperuntukkan lebih daripada 10 peratus tenaga kerjanya dan kepakaran klinikal di seluruh Malaysia bagi tujuan itu. Mereka termasuk perunding kesihatan, jururawat, ahli farmasi dan sokongan pentadbiran. – BERNAMA